Salam Maulidurrasul 1431H

Posted by iedah


PENGENALAN

Rasulullah S.A.W. merupakan pesuruh Allah Taala yang diutuskan kepada umat Islam dan seluruhnya. Sebagai umat Islam yang beriman maka wajiblah kita mentaati segala perintah dan suruhan yang datangnya dari junjungan besar Rasulullah S.A.W. tanpa membantahnya walaupun sedikit. Perintah mentaati rasulNya amat jelas dinyatakan di dalam nas-nas dari al-Quran ataupun al-Hadis S.A.W di antaranya:

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul (Rasulullah S.A.W) dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan sunnah rasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an-Nisa: ayat 59).

Semperna perayaan Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. pada tahun 1431 H / 2010 M ini, saya ingin mengajak semua umat Islam untuk mengingati dan menghayati sirah baginda S.A.W. dan seterusnya mengikuti serta mentaati segala ajaran yang telah dibawakan oleh Rasulullah S.A.W. kepada kita. Tulisan ini sama sekali tidak akan membahaskan hukum menyambut Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. kerana persoalan ini terlalu kerap dibahaskan pelbagai pihak saban tahun dan ia adalah masalah khilafiyyah yang tidak akan selesai hingga Kiamat.

Berikut adalah link bagi persoalan itu:

http://buluh.iluvislam.com/?p=40 dan http://buluh.iluvislam.com/?p=68

Di sini disenaraikan beberapa perkara yang mesti kita lakukan sekiranya kita mengaku menyayangi dan mencintai Rasulullah S.A.W.:



BERADAB DENGAN RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan rasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah a-Hujuraat: ayat 1).

Firman Allah Taala bermaksud: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan rasul (Rasulullah S.A.W) di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (Surah an-Nur: ayat 63).



MENTAATI RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul (Rasulullah S.A.W) dan jaganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: Ayat 33).

Firman Allah Taala bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasul (Rasulullah S.A.W) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. (Surah al-Hasyr: ayat 7).

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Taatilah kamu kepada Allah dan rasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka) maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (Surah ali-Imran: ayat 32).



BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Orang yang bakhil ialah mereka yang disebut namaku akan tetapi ia tidak berselawat kepadaku. (Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali maka Allah akan selawat kepadanya sepuluh kali. (Riwayat Muslim).



MENGASIHI RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi. (Surah ali-Imran: ayat 31).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah dan rasulNya lebih daripada cinta kepada perkara lain... (Riwayat Bukhari dan Muslim).



MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak (dalam masa sysah dan senang). (Surah al-Ahzab: ayat 21).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan sunnah daripada sunnahku yang telah ditinggalkan selepas aku maka sesungguhnya baginya pahala seumpama pahala orang yang melakukannya tanpa sedikitpun berkurangan sementara sesiapa yang mengadakan bidaah yang sesat yang tidak diredhai Allah dan rasulNya baginya dosa seumpama dosa-dosa yang dilakukan mereka di mana tidak sedikitpun berkurangan. (Riwayat al-Tarmizi dan Ibnu Majah).



PENUTUP

Sebagai umut Islam yang sayangkan baginda S.A.W. hendaklah kita mengikuti segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Ini sahajalah bukti yang paling kukuh bahawa kita menyayangi dan mencintai Rasulullah S.A.W. sepenuh jiwa. Akhir sekali, di kesempatan ini pihak iLuvislam.com ingin mengucapkan selamat menyambut Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. 1431 H / 2010 M kepada seluruh umat Islam. Jadikanlah amalan mengikuti ajaran baginda S.A.W. pada setiap ketika dan bukan sekali dalam setahun.

"I love Rasulullah S.A.W."

TIGA HAL YANG SIMPLE

Posted by iedah

“Macam mana cuti? Best?” “Best..!!”, jawab dua anak kecilku itu, girang.
Hampir seminggu kelas iqra’ kami sepi. "Mama bawa pegi mana?” "Pegi Kota (Kota Belud) dan KK (Kota Kinabalu)”, jawab si adik yang baru menginjak usia 7 tahun. "Waaahh!!”, sengaja kutunjukkan wajah teruja merai jawapan yang diberikan. "Mama ajak jalan-jalan kat KK yer?” "Iyaa… Kami pegi panggung”, jawab si abang yang berusia 12 tahun. " Pegi panggung? Tengok wayang?”, cheh! Soalan… Takkan orang pegi panggung beli ikan pula. Tapi tengah bercakap dengan anak kecil kan memang kena macam tu. “Iya… Tengok Dragon Ball Evolution”, jawab si abang lagi sedang adik di sisinya sekadar menambah dengan wajah ceria.

Terserlah keseronokan mereka mengenang kembali pengalaman menonton wayang. Aku tak pasti itu kali ke berapa mereka diajak oleh si ibu menonton wayang. Kecil-kecil lagi dah merasa tengok wayang kat panggung. Aku yang dah besar ni pun cuma merasa kali pertama injak kaki kat panggung wayang lepas dah masuk 20an. Itu pun cuma sekali selepas puas dipujuk kakak senior kat kampus dulu, pertama dan terakhir insyaAllah.

“Waahh!! Dah ada cerita filem rupanya kartun tu”, balasku yang memang dah lama tak mengikuti perkembangan cerita animasi kegemaranku zaman hingusan dulu. Raut wajah Goku yang comel tu masih jelas lagi dalam ingatan. Rupanya dah ada versi real, macam mana agaknya muka Goku versi real tu “Ok la… Nanti kita sambung cerita Dragon Ball. Sekarang kita sambung kelas kita. Dah lama cuti, kan? Masih ingat lagi yang kita dah belajar?”, soalku pada dua anak kecil di hadapanku. "Ingat…”, jawab mereka serentak.

Dan dengan memulakan kelas dengan amalan lazim kami, surah alFatihah, kelas kami pun bermula. Memang sedikit mencabar mengajar mereka, terutama si adik yang lebih banyak main. Nasiblah si abang banyak membantu dengan menenangkan sendiri adiknya. Satu yang cukup menarik perhatianku dan agak lucu juga adalah ketika si abang mengurut-urut belakang si adik sambil berkata, ’Sudahla… Sudahla…’, lembut dicelahi tawa kecil. Dalam usahanya meminta si adik berhenti ketawa dia pun berusaha untuk menyahkan jauh-jauh tawa yang berjangkit dari si adik. Dan yang paling lucu bila dia menyambung dengan kalimat, "Keluar..! Keluar…!", menghalau syaitan yang mencucuk si adik lagaknya. 'Syuh! Syuh!!', tambahku.

"Ok, apa pula yang kita nak citer malam ni?”, tanyaku meminta idea dari mereka sebaik kuakhiri pengajaran iqra’. Lazimnya aku akan menutup kelas dengan sedikit cerita sebagai tazkirah buat kedua anak kecil itu, termasuk juga utk diriku. Keduanya saling berpandangan. "Dragon Ball Evolution”, jawab si abang. Memang kuat sungguh rupanya penangan filem tu. “Ermm… Menarik. Apa yang kita boleh belajar dari cerita tu?” "Nilai dan pengajaran”, jawab si abang menunjukkan kematangannya berfikir. " "Bagus… Pandai… Pasti ada nilai dan pengajaran, kan?”, soalku. Si adik di sisinya seperti biasa menambah itu dan ini pada kata-kata si abang.

"Masa Goku berlawan dengan musuh, dia cepat mengaku kalah tak?” “Tak…”, jawapan jelas yang sempat kurakam dalam kotak memori. Huraian yang banyak dari si adik terutamanya tak sempat kurakam. Banyak sangat, maklumlah anak kecil kalau bercerita hal2 yang menarik bagi mereka macam orang baru dapat mulut. "Dia tak mudah putus asa kan?”, keduanya mengangguk mengiyakan. "Macam tu juga kita dalam hidup ni. Jangan mudah berputus asa. Yang penting kena usaha, kemudian kita berdoa dan akhir sekali kita berserah”, keduanya menampakkan wajah tak faham, keliru. “Macam ni… Contohnya kita belajar di sekolah mesti kita nak dapat keputusan yang baik, kan?” “Iya, 5A”, jawab si abang pantas. Maklum tahun ni dia nak ambik peperiksaan UPSR. "Hah, nak dapat 5A kena belajar rajin2.. Tu namanya usaha.. Lepas tu kena berdoa moga Allah bagi berkat ilmu yang kita belajar. Lepas tu kita berserah, tawakal… Nanti lepas peperiksaan keluar keputusan kita terima saja sama ada keputusan itu yang kita harapkan atau sebaliknya. Kalau bukan seperti yang kita harap, yang kita doa, maka kita tak boleh salahkan taqdir. Sebab boleh jadi ada sesuatu yang Allah mahu kita belajar dari kegagalan kita…”, jelasku serba ringkas dan sebolehnya menerangkan dalam bahasa yang mudah mereka nak faham. Alhamdulillah ada sinar mengerti di wajah kedua anak kecil itu.

Tiga hal yang nampak simple: USAHA DOA TAWAKAL. Tiga hal inilah sebenarnya yang kita perlu selalu perhatikan dalam kita mengendalikan aspek-aspek dalam kehidupan. Nampak macam remeh je kan? Keremehannya inilah yang sehingga ada antara kita yang kurang menghayati pengaplikasiannya. Kadang-kadang kita lupa untuk berusaha, cuma berdoa, berharap dan berserah. Memang tak kena. Tiada ertinya tawakal dalam keadaan kita tak dahului dengan usaha dan iringi dengan doa. Ketiga-tiga hal ini saling melengkapi. Ibarat air kopi yang perlu air, serbuk kopi dan gula. Nak air kopi yang sempurna perlu ada ketiga-tiganya.