MAKANAN SYUBHAT DI HOTEL LIMA (5) BINTANG

Posted by iedah



Agama Islam sangat tegas berkenaan dengan halal dan haram dalam makanan. Ini adalah kerana makanan yang baik dan suci membentuk jiwa yang bersih dan mudah menerima hidayah daripada Allah s.w.t. Dalam amalan para sufi penekanan terhadap kebersihan dan kesucian sesuatu makanan amatlah dijaga dan dititikberatkan supaya hati tidak dicemari daripada perkara-perkara yang syubhat dan haram yang akan menjauhkan diri seseorang dengan Allah kerana hati yang rosak akan menyebabkan seseorang akan lalai dari mengingati Allah s.w.t. Justeru pemakanan yang halal dan suci amat penting dalam kehidupan setiap muslim.

Pengambilan makanan yang baik amatlah digalakkan di dalam Islam. Ini sesuai dengan firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Nahl, ayat 114: فكلوا مما رزقكم الله حللا طيبا واشكروا نعمت الله إن كنتم إياه تعبدون.

Maksudnya: “Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu, dan syukurlah di atas nikmat Allah, jika kamu hanya kepadaNya saja menyembah.”

Ayat di atas menggesa umat Islam memilih makanan yang halal lagi baik yang diberikan oleh Allah, justeru umat Islam wajib meninggalkan makanan-makanan yang berstatus syubhat dan haram.

Hadith nabi juga dalam hal yang sama menyuruh umatnya supaya memilih sesuatu seperti makanan begitu juga perkara yang lain iaitu yang halal dan bukan yang syubhat lagi haram. Nabi s.a.w. bersabda daripada Amir ia berkata:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْحَلَالُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشَبَّهَاتٌ لَا يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ فَمَنْ اتَّقَى الْمُشَبَّهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ كَرَاعٍ يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
[Sahih Bukhari, Kitab Al-Iman, Bab Keutamaan Orang Yang Meninggalkan (Sesuatu Keraguan)KeranaMenjagaAgamanya,No.50.]

Maksudnya: Dari Amir, ia berkata: Saya mendengar Nu'man bin Basyir berkata: Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Halal itu jelas dan haram itu jelas dan di antara keduanya terdapat perkara yang musyabbihat (serupa, tidak jelas haram atau halalnya) yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Sesiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat maka ia telah membersihkan kehormatan diri dan agamanya. Dan sesiapa yang terjerumus dalam syubhat adalah seperti pengembala (yang membawa ternakanannya) di sekitar tanah larangan maka hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah hal-hal yang diharamkanNya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik. Dan apabila daging itu rosak maka seluruh tubuh itupun rusak. Ketahuilah, itulah hati.

Dalam hadith yang sama juga hati memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian dan jiwa seseorang muslim, dilihat kepada apa yang dimakannya. Jika halal dan baik maka baiklah hatinya tetapi jika sebaliknya maka akan rosak dan binasalah hati itu. Penjagaan hati dan diri ini amat bertepatan dengan salah satu objektif syariah (maqasid syariah) iaitu menjaga diri, justeru amalan pengambilan makanan yang halal bukan sahaja menjadi kewajipan atas setiap orang muslim bahkan ia menjadi jihad dalam khusus kepada masyarakat Islam dalam menyediakan keperluan barangan yang halal termasuk memasarkan, menjual dan menggunakan barangan halal hasil tangan individu atau badan Islam yang prihatin dengan kesucian makanan ini.

FOKUS ISU: MAKANAN YANG SYUBHAT DI HOTEL LIMA BINTANG

Hotel merupakan tempat yang popular bagi masyarakat di Malaysia, dalam isu ini fokusnya ialah umat Islam. Ramai di kalangan mereka yang beragama Islam menjadikan hotel sebagai pusat untuk melaksanakan pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, seminar, kursus, sambutan hari keluarga dan sebagainya. Mereka yang mengunjungi terdiri dari pelabagai latarbelakang sama ahli akademik, ustaz, pensyarah, orang kenamaan, ahli korporat, orang kampong dan ramai lagi menikmati sajian yang dihidangkan di hotel-hotel bertaraf lima bintang ini, namun berapa ramaikah yang mempersoalkan status halal sesebuah hotel dalam aktivit mereka menyediakan makanan?.

menyedihkan umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadan dengan suci hati mengharapkan keredaan Allah dan memperoleh pahala di jamu dengan hidangan bufet di hotel-hotel bertaraf lima bintang tanpa sedar mungkin telah memakan makanan yang syubhat atau yang lebih teruk makanan yang haram. Oleh yang demikian masyarakat Islam semestinya prihatin dengan permasalahan ini supaya masyarakat Islam tidak akan diperkotak-katikkan oleh mereka yang cemburu dan iri hati dengan agama Islam justeru telah melakukan penganiyaan terhadap umat Islam secara senyap melalui makanan yang tampak enak di mata tapi sebenarnya adalah HARAM!!.

Pendedahan ini dibuat berdasarkan temubual yang dijalankan oleh sebuah stesen radio iaitu Radio 24 yang menjemput dua orang chef yang pernah bekerja di hotel bertaraf lima bintang atas rasa kesedaran dan keprihatinan mereka telah mendedahkan penyelewengan dalam masakan yang tidak menghiraukan sensiviti umat Islam berkenaan makanan dengan mencampur adukkan antara bahan makanan yang halal dan haram untuk sajian masyarakat Islam yang mengunjungi hotel-hotel seperti ini.

Antara pendedahan yang dibuat oleh chef tersebut ialah: Dapur yang di masak bercampur antara masakan melayu, cina, india, itali, barat kerana berlainan eksekutif chef.Mesin pengisar daging yg bertulis “pork” dan “non-pork” dan seringkali bercampur antara keduanya.Kek-kek dicampur dengan arak.Sos-sos pencicah dicampur dengan bahan tidak halal. Pendedahan ini adalah suatu yang menjijikkan kita sebagai orang Islam yang amat mementingkan halal dan haram dalam pemakanan seharian. Ramai di kalangan masyarakat Islam masih belum sedar akan hakikat ini. Selain daripada di atas, sudah banyak aduan dan laporan yang dibuat berkaitan ayam yang dicucuk, ayam yang berenzim babi, ayam yang tidak sah cara penyembelihannya dan sebagainya dan jika ayam-ayam jenis ini yang dibekalkan kepada pengusaha-pengusaha hotel, apakah kita yakin dengan status halalnya sekalipun mereka ini mendapat persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)?. Ini adalah berkait dengan soal maruah umat Islam kerana ialah adalah sebahagian daripada ibadah yang menghubungkan manusia dengan Allah?. Umat Islam seharusnya prihatin dan sensitif dengan isu ini.

Dalam kaedah bagi mengatasi masalah ini, satu tindakan bersepadu mestilah diambil di antara JAKIM dan badan-badan lain seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan mencari jalan dengan satu tindakan yang tegas dalam menangani isu ini supaya pengusaha-pengusaha hotel benar-benar prihatin dengan keperluan umat Islam dalam soal halal makanan ini.

Pihak pengurusan hotel juga perlu didesak supaya mendapatkan pengesahan sijil halal yang tulen daripada pihak berkuasa agama Islam supaya sensiviti umat Islam tidak dipermainkan. Bagi pengguna terutamanya muslim seharusnya menggunakan hak untuk menuntut supaya pihak pengurusan hotel menjamin kualiti makanan yang halal apabila sesuatu majlis diadakan orang masyarakat Islam. Amaran perlu diberikan jika mereka tidak mengendahkan keperluan dan permintaan umat Islam ini.

Di samping amalan berpesan-pesan kepada kebenaran ini, satu langkah bijak telah dicetuskan oleh PPIM dalam usaha memastikan industri halal ini menjadi kekuatan kepada ekonomi umat Islam. PPIM mencadangkan penubuhan Muslim Friendly Organization Award (MFO) bagi menyelesaikan permaslahan ini, bukan sahaja melibatkan makanan halal tetapi sekaligus meningkatkan ekonomi orang Islam dalam memasarkan barangan-barangan halal. Ini adalah kerana perbandingan harga barangan antara orang Islam dan bukan Islam menunjukkan barangan orang Islam agak mahal tetapi terjamin halalnya berbanding orang bukan Islam seperti mee orang Islam yang tidak tahan lama kerana tidak dicampurkan dengan bahan pengawet berbeza dengan mee buatan bukan Islam yang mencampurkan bahan pengawet. Antara lain penubuhan MFO ini mencadangakan beberapa perkara seperti berikut:

1. FOKUS ADALAH ORGANISASI BUKAN ISLAM
seperti pengusaha restoran, yang mendapat sijil halal, tetapi kebanyakan pelanggannya terdiri daripada orang Islam. Selain itu, kita juga hendak memberikan keuntungan ekonomi kepada masyarakat Islam.

2. MENINGKATKAN EKONOMI UMAT ISLAM
Adakah bekalan bahan makanan untuk majlis itu diambil oleh pemilik hotel berkenaan dari orang Islam? Keadaan sebegini menyebabkan orang Islam terus berada dalam perangkap ekonomi. Kerana mereka tidak ambil (bekalan) dari orang Islam jadi tidak ada manfaat kepada orang Islam selain makan.

3. ORGANISASI YANG TERBUKA SERTA SENSITIF KEPADA ORANG ISLAM
Tidak menempatkan orang Islam di tempat penjualan arak, babi dan menyediakan surau bagi kemudahan orang Islam untuk beribadat. Misalannya, orang Islam menempah hotel mengadakan majlis tetapi untuk beribadat suarau tidak disediakan.

4. ORGANISASI MEWUJUDKAN PANEL SYARIAH ATAU LEMBAGA PENGARAHNYA ADA SEORANG DUA ORANG ISLAM
Boleh memerhatikan perkara halal haram, seperti polisi pembelian. Pasukan audit yang akan memantau. Apa yang kita hendakkan ialah pembabitan orang Islam di mana yang mungkin dalam sesebuah organisasi itu. Sebagai contoh, di sesebuah restoran pemantaunya mungkin bilal atau siak yang ada di kawasan itu. Dia akan datang memantau mengikut kesesuaiannya dan berdasarkan garis panduan yang kita beri.

5. ORGANISASI YANG PRIHATIN.
Bagi pelanggan Islam, jika tidak ada satu konsep seperti MFO ini, yang membolehkan mereka datang makan, mungkin nasib pembekal Islam tidak terbela malahan nasib mereka juga. Sebagai contoh, ada sejenis mi yang dibuat oleh orang Islam yang kualitinya bagus tetapi tidak tahan lama kerana tidak dicampur dengan bahan pengawet.

6. DASAR TIDAK MENEKAN
Pengusaha bukan Islam tidak akan dapat bangkit lagi kerana jika pengguna (Islam) sudah marah, mereka akan ambil tindakan. Amaran kita amat terang, jika mereka sensitif kita akan sokong, kalau menekan, menipu kita akan mengambil tindakan sewajarnya. Pengguna tidak mahu terus diperguna.

Penubuhan MFO ini menurut Setiausaha PPIM Datuk Nadzim Johan tidak akan menganggu peranan yang dimainkan oleh JAKIM selama ini. PPIM bukan hendak menjuarai dalam isu halal dan haram ini tapi menggesa masyarakat Islam bersatu padu menangani masalah ini secara kolektif.

Idea MFO antara lain bagi menampung keperluan umat Islam dan membantu ekonomi umat Islam dengan mendahulukan barangan Islam daripada barangan bukan Islam. Menurut Datuk Nadzim Johan, “Untuk keluarkan orang Islam dari kepompong kemiskinan, kita kena kerja bersama. Sama-sama kena faham, orang bukan Islam kena faham dan orang Islam sendiri kena lebih faham, kena ambil kefahaman untuk menolong. Konsep ini kita ambil dari negara asing juga. Contoh, masyarakat Korea di negara ini, bilangan mereka tak ramai, tetapi mereka sudah ada pasar raya sendiri, tetapi mana pasar raya orang Islam? Tak ada, kerana orang Islam tak kisah. Orang Jepun misalnya, kalau nak beli benda kecil pun mereka akan ke Sogo walaupun tinggal di Ampang”.


Menurutnya lagi, “Dalam proses penganugerahan MFO kita mengumpul syarikat yang berminat. Mungkin tidak banyak buat permulaan, tetapi lama kelamaan ia akan jadi budaya”.

Penglibatan umat Islam dalam penyediaan makanan halal amatlah diharapkan supaya keperluan umat Islam dapat dipenuhi kerana pada masa sekarang golongan bukan Islam amat menjuarai dalam menyediakan makanan keperluan umat Islam, walaupun sesetengahnya adalah halal, namun pulangan kepada orang Islam dalam bentuk zakat tidak ada. Individu muslim mesti mengorak langkah maju ke hadapan kerana industri halal jika tidak dikuasai oleh orang Islam, maka timbullah seperti isu di atas “makanan syubhat di hotel lima bintang”, bukan sekadar penyediaan makanannya tidak halal, tetapi pembekal-pembekal bahan mentah juga terdiri dari kalangan bukan Islam tetapi mereka mampu memenuhi permintaan yang banyak, adakah kita sangat yakin dengan perkhidmatan dan barangan mereka?.

KESIMPULAN

Isu makanan syubhat di hotel lima bintang bukanlah satu isu yang boleh di pandang sebelah mata dan bukan isu yang remeh tapi ia sangat berkaitan dengan sensiviti umat Islam yang amat mementingkan makanan yang halal ini. Penguatkuasaan yang tegas perlu diambil oleh pihak berwajib, dalam hal ini JAKIM tidak mempunyai kuasa dalam menguatkuasakan undang-undang tetapi ianya perlu dimainkan oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di samping dibantu oleh Persatuan-persatuan Penggunan seperti PPIM, CAP dan sebagainya. Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) juga seharusnya memainkan peranan yang sama. Pembaharuan sijil halal yang dikeluarkan oleh MAIN seharusnya disusuli dengan pemeriksaan yang rapi bagi memastikan hotel-hotel ini mematuhi garis panduan dalam penyediaan makanan yang halal kepada pengguna muslim. Walaupun JAKIM telah menyenaraikan hotel-hotel yang telah mendapat sijil halal daripada JAKIM dan MAIN namun untuk kepastian memerlukan keprihatinan semua pihak untuk memastikan maruah umat Islam dijaga.
http://drishak69.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment